Thursday 5 January 2017

PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat (2005), pertanian yang terhasil dari perkataan 'tani' yang membawa maksud perihal bertani (tanam-menanam) atau perusahaan bercucuk tanam. Pertanian merupakan satu bentuk kegiatan penanaman tumbuhan dan pokok-pokok yang boleh membawa hasil kepada manusia. Sumber ini merupakan salah satu ciptaan Allah SWT kepada manusia sebagai punca rezeki yang boleh dikategorikan kepada beberapa jenis penghasilan seperti sumber makanan, bahan mentah untuk pembuatan rumah, perabot, alat tulis, kertas dan pelbagai lagi.

Pada zaman sekarang, pertanian boleh dikategorikan sebagai pertanian yang mampan seperti pernakulturan, dan pertanian organik serta pertanian insentif iaitu pertanian industri. Menurut pandangan Mohammad Shukri Majalin (2011), bidang atau sektor pertanian ialah satu sektor yang mampu menjana pendapatan negara serta merupakan salah satu sektor penting dalam hala tuju pembangunan atau ekonomi negara Malaysia amnya. Pada masa yang sama beliau turut memperincikan laporan yang berkaitan sektor pertanian di negeri Sabah dengan menyatakan bahawa sektor pertanian merupakan sumber bekalan penduduk tempatan, dan memberi banyak peluang pekerjaan.

Sektor pertanian ini juga turut menyumbang 25% hingga 30% KDNK Negeri Sabah. Pada tahun 2006, sumbangan nilai eksport negeri Sabah adalah sebanyak 35% hingga 44%. Beliau turut membuat kenyataan bahawa sektor pertanian adalah sektor yang berdaya saing. Justeru, kerajaan mahu mewujudkan sektor pertanian yang berdaya maju, bersifat komersial dan berdaya tahan pada masa akan datang.

Menurut pendapat Fatimah Mohamed Arshad (2007,p.1), pada tahap awal pembangunan, sektor pertanian telah menjadi penjana utama pertumbuhan ekonomi di Malaysia. Dalam tahun 1960an, sektor pertanian berperanan sebagai sektor yang membekalkan makanan untuk penduduk yang kian bertambah, menyediakan peluang pekerjaan, memberi pendapatan eksport negara, mengumpul simpanan untuk pelaburan industri dan menyediakan bahan mentah untuk pertumbuhan industri asas-asas tani.